Monday, January 28, 2008

Surat Untuk Anak Peneroka


Anak peneroka
Hari ini aku layarkan surat untukmu
Buatmu merenung jauh kehidupan diri

Belajarlah pengorbanan ayah dan bondamu
Biarpun hutan belantara adalah sahabat hidupnya
Rimau dan gajah adalah rakan seperjuangan
Pacat dan lumpur adalah permainan siang malamnya

Kini, kaulihatlah penghijauan hasil lelahnya
Tidakkah kau kagum
Bahawa kau dilahirkan atas keringat dan air mata ayah bondamu
Kesenangan melimpah ruah yang kau ratah
Adalah air mata nanah yang berkorban atas nama
Mencari sesuap nasi

Kini,
Setelah kuselami nadi dan urat sarafmu
Hatiku tersentak! Bergoncang jantungku
Kesenangan yang ada
Kau ludah dan muntahkan di pipi ayah bondamu
Kecelakaan akhlakmu, membuat aku diam membisu,
Tertunduk malu

Apakah tidak? Arak, morfin, judi perhiasan siang malammu
Jalan raya di depan rumahmu, gelanggang maut hidupmu

Malangnya dirimu, anak peneroka
Dimanakah tanda kesyukuran kau robekkan?
Dimanakah harga keimanan kau telanjangkan?
Ayuh! Mari kembali mengenal asal-usulmu
Mari kembali, mencari makrifat diri


Sarji Kasim
Bera, 4 Oktober 2004.

No comments: