Monday, July 20, 2009

Saudaraku dari Seberang dan tingkah adik-adikku


Sudah sedekad aku mengenali lelaki ini

Tanah leluhurnya tanah Makasar

Tinggalkan keluarga, tinggalkan kampung, tinggalkan sahabat taulan

Datang ke Tanah Semenanjung memijak tanah bertuah

Waktu itu umurnya baru belasan tahun

Kini, tegang kulitnya makin hilang

Kedut-kedut kulitnya mengendur di dahi

Rumput putih memutih di kepala

Tiada perlu bersusah-susah untuk berserban

Kedut-kedut derita jelas terserlah

Setianya bersama golok dan parang tiada beralah

Hujan panas itulah wadah permainan

Cangkul dan galah itulah teman setia sepanjang zaman

Pagi petang rimba ladang itulah mahkota kehidupan

Saban hari bermotor tua mencari rezeki

Meredah denai belukar tiada sempadan

Kentalnya jiwa seorang insan

Rezeki di cari tiada takwil



Bapak;

Ladang mana tiada kau redah

Sungai mana tiada kau renangi

Rumah mana tiada kau baiki

Tak cukup dengan itu

Pelosok jauh menjual nasi bungkus

Meneruskan kehidupan di tanah bertuah

Sedang kau dan sahabat-sahabatmu yang lain

Meratah rezeki terhidang di permaindani indah



Dicelah-celah rimba

Adik-adiku sibuk menyuntik racun di hempedu hidup

Melepas khayal di tengah belukar dan ladang

Minuman keras; jenama apa tiada kau kenal

Jalan raya; itulah litar lumba untukmu beradu megah

Hidup berpasangan; tiada kenal siapa imam siapa kadi

Masjid di hias indah; bilal kehilangan suara memanggilmu

Semakin hari suaranya semakin lelah

Masjid berjuta ringgit; sayang hanya hiasan duniawi sahaja

Sedang; solat berjemaah senang di bilang dengan jari-jemari



Aduh!

Malangnya nasib bangsaku

Pada siapa untukku berpesan

Sedang anginpun malu menerpa wajahmu

Sempurnakah kemungkaran ini kau telanjangkan

Cukuplah kemungkaran ini kau sempurnakan



Dan aku

Menangggis sendiri tiada bernoktah

Mengenang anak bangsa

Tunjang iman dari sehari ke sehari makin tercabut

Pada siapa untukku salahkan

Pada siapa pintaku untuk betulkan

Aku masih mencari titik demi titik

Mengapa bangsaku makin menjauh

Hilang dan lenyap

Di mana iman untuk ditegakkan



Sedang mereka di hujung tanah seberang

Sibuk mengintai mencari rezeki untuk diratah

Kerana derita itu dialah yang menanggungnya

Sedang adik-adiku sibuk membilang rezeki melimpah

Tapi, sayang tiada diketahui

Milik siapakah yang sedang melimpah?



Sarji Kasim

Bera 21 Julai 2007

Mengenang Keberangkatan Rasululah ke Sidratul Muntaha;


Mengenang Keberangkatan Rasululah saw ke Sidratul Muntaha;

Israk Mikraj Untukmu Muhammad saw


Hidup Muhammad di serang derita

Datuk tercinta dipanggil Ilahi

Isteri Khadijah ke ruang abadi

Kiri kanan belakang depan

Musuh datang sedia menyerang

Ahmad istiqamah pantang menyimpang




Rumah Ummu Hani Baginda beradu

sepupu Nabi namanya Ummu Hani

Dibawa Jibrail ke Masjid Aqsa

Masjid Aqsa di Baitul Maqdis

Masjid Aqsa menuju ke langit

Tempat disebut Sidaratul Muntaha




Esok hari menuju ka’bah

Apa peristiwa terus dicerita

Amanah Allah mesti disampai

Surah al-Maidah jelas tercatat

Pengalaman Rasul terus disampai,

Ejekan cacian bersabarlah nabi.

Itulah permainan harian Arab Jahiliyah




Penduduk Mekah tiada percaya

Masakan Muhammad ke Sidratul Muntaha

Gegak gempita tersebar cerita

Muhammad itu manusia pendusta

Sebahagian Muslim ada keraguan,

Itulah tanda nipisnya iman




Abu Bakar dicari dapat kepastian.

Yakin Abu Bakar sepenuh hati

Terima wahyu lagikan sukar

Inikan pula naik ke langit

Kerja Allah tentulah berkuasa

Tiada mustahil hakikat kebenaran

Baginda bercerita masjid Al-Aqsa

Semua benar tiada palsu

Semuanya betul benar belaka

Semasa hidup tiadalah sampai

Itulah kisah sebenar nabi




Abu Bakar pedagang besar

Tempat mana tiada dijelajah

Masjid Al-Aqsa tempat dagangan.

Tumpuan tempat Timur dan Barat

Muhammad menyebut benar belaka

Tiada takwil untuk dibohongi

Abu Bakar sendiri pernah sampai.

Kenyataan hakikat di pelipat mata

Abu Bakar mendapat panggilan

As-Siddiq orangnya diberi gelar

Yang Membenarkan itulah makna

Tebal iman itulah tanda




Kafir Quraisy minta bukti

Segala dalil sudah diberi

Fikiran sempit pasti menyimpang

Usul diterima tanpa bangkangan

Unta hilang tuan mencari.

Kata Baginda kepada empunya

Tempat unta boleh dijumpai

Cerita lain adalah kisah

Rasul turun tunggangan unta

Turun tunggangan mencari minum

Letaklah cawan cara tertentu

Pulang ke Mekah tersebut kisah

Ada kafilah menuju Mekah.

Waktu petang sampailah kafilah

Sampai kafilah tepatlah masa.

Datang Badwi cerita takjub

Unta hilang puas mencari

Bergema suara dari langit

Disebut tempat unta menghilang

Pergi Quraisy ke suatu tempat

Mencari tempat Rasul minum

Benarlah segala sabda nabi

Ego diri binasa badan

Semua dalil ada terbukti

Kafir Quraisy bertambah marah

Bukannya tunduk kepada Ilahi




Sabda Rasul kepada Muslimin

Andai lagi diberi kesempatan

Tiada kembali alam dunia

Disitulah tempat kesenangan abadi

Sidratul Muntaha terima hadiah

Hadiah solat amatlah tinggi

Solat diberi penebus dosa

Menyuci jiwa segala manusia

Nikmat solat tiada terhingga

Hiburan Muslimin itulah tempat




Hadiah kedua diberi Allah

Perbuatan manusia karunia Pencipta

Niat jahat tiada dibuat

Tiada dicatat segala dosa

Sekiranya buat perbuatan mungkar

Satu dosa pasti dicatat

Niat baik tiada dibuat

Amalan pahala sudah dicatat

Niat baik membuat kebajikan

Sepuluh kebajikan diberi ganjaran

Bertuahlah umat pengikut Muhammad

Dialah Rasul akhir zaman

Penyampai kebenaran penghilang kebatilan


Sarji Kasim

Bandar Bera

26 Syaban 1430

20 Julai 2009

Tuesday, July 7, 2009

Rebahnya Surau Tua

Rebahnya Surau Tua

Suatu waktu dahulu

Ketika hidungku masih berhingus

Lalu kuambil bajuku membersihkan hingus kehijauan di hidungku

Di situlah aku bertatih mengenal Alif, Ba, Ta

Di situlah aku mengenal bagaimana untuk berwuduk

Di situ aku mengenal bagaimana mengucap Allahu Akhbar

Tatkala itu angkatlah kedua tanganku di sisi telinga

Di situlah bacaan al-Fatihah kubetulkan

Di situlah aku mengenal muqadam

Kitab kuning juga kusantap tatkala usiaku meningkat remaja

Di situ aku mengenal kawan taulan

Malahan di situ juga sempat aku menumbangkan lawan

Gara-gara mercun hinggap di cuping telingaku

Siapa tidak meradang



Di situ sempat juga aku mengintai

Anak dara orang pulang dari mengetam

Perigi tua itulah tempat bersembang

Tiada lebih hanya jelingan spontan

Berhenti rehat menyucikan badan

Seterusnya mengambil rehal mengaji Al-Quran

Di situ juga asramaku tanpa resit

Di situlah kelab bualku hingga ke fajar

Bersama rakan-rakan hanya datang untuk mencari kawan

Kalau diajak solat lari bertempiaran

Ah, lagak anak muda kononnya masa mati lambat lagi

Subuh menjelang; datang guruku

Katanya “ bangun kalian; sambil mengucapkan kata-kata

Yang kuingat hingga sekarang

“Tidakku jadikan jin dan manusia untuk beribadat kepadaku”

Maka bagunlah semuanya tanpa takwil

Sujud menyembah pada Yang Esa

Ada juga rupanya membungkus nagka

Mentari segalah baru membuka mata



Hampir sedekad guruku menemui tuannya

Surau di kampungku atau

'Balasah' menurut lafal orang kampungku

Yang dulunya tentu;

- Sarat dengan bacaan Al-Quran pagi dan malam

- Sarat dengan suara si anak menghafal ayat tuhan

- Di situ tempat mengenal makrifat tuhan

- Tempat ini juga bermainnya mata pria dara bertemu jodohnya


Kini,

Semuanya hilang, sepi

Semuanya sunyi, di huni debu

Siapakah peduli lelabah penghias dinding

Kertuk yang pernah kupalu dahulu hilang entah ke mana

Tiada lagi azan berkumandang

Kitab tua juga hancur di makan anai-anai

Entah, siapakah lagi lagi sudi membelek lembarnya?



Surau tua ini masih menanti

Bilakah lagi memenuhi rongga keimanan penghuninya

Sesekali kupulang ke kampung halaman

Kugagahi jua menapak kaki ke serambinya

Sempat aku menerjah zaman usia remajaku

Bilakah saat indah itu akan kembali



Sempat aku membasahi wajah dengan wuduk

Dan aku melaungkan azan

Datanglah ibu tua bertongkat

Solat berjemaah bersamaku

Rang mudanya; Ke mana kamu?

Tergamakkah kau rebahkan surau ini

Yang pernah berjasa untuk penghuninya.

Sarji Kasim

Bandar Bera, 07/07/2009