Sudah sedekad aku mengenali lelaki ini
Tanah leluhurnya tanah Makasar
Tinggalkan keluarga, tinggalkan kampung, tinggalkan sahabat taulan
Datang ke Tanah Semenanjung memijak tanah bertuah
Waktu itu umurnya baru belasan tahun
Kini, tegang kulitnya makin hilang
Kedut-kedut kulitnya mengendur di dahi
Rumput putih memutih di kepala
Tiada perlu bersusah-susah untuk berserban
Kedut-kedut derita jelas terserlah
Setianya bersama golok dan parang tiada beralah
Hujan panas itulah wadah permainan
Cangkul dan galah itulah teman setia sepanjang zaman
Pagi petang rimba ladang itulah mahkota kehidupan
Saban hari bermotor tua mencari rezeki
Meredah denai belukar tiada sempadan
Kentalnya jiwa seorang insan
Rezeki di cari tiada takwil
Bapak;
Ladang mana tiada kau redah
Sungai mana tiada kau renangi
Rumah mana tiada kau baiki
Tak cukup dengan itu
Pelosok jauh menjual nasi bungkus
Meneruskan kehidupan di tanah bertuah
Sedang kau dan sahabat-sahabatmu yang lain
Meratah rezeki terhidang di permaindani indah
Dicelah-celah rimba
Adik-adiku sibuk menyuntik racun di hempedu hidup
Melepas khayal di tengah belukar dan ladang
Minuman keras; jenama apa tiada kau kenal
Jalan raya; itulah litar lumba untukmu beradu megah
Hidup berpasangan; tiada kenal siapa imam siapa kadi
Masjid di hias indah; bilal kehilangan suara memanggilmu
Semakin hari suaranya semakin lelah
Masjid berjuta ringgit; sayang hanya hiasan duniawi sahaja
Sedang; solat berjemaah senang di bilang dengan jari-jemari
Aduh!
Malangnya nasib bangsaku
Pada siapa untukku berpesan
Sedang anginpun malu menerpa wajahmu
Sempurnakah kemungkaran ini kau telanjangkan
Cukuplah kemungkaran ini kau sempurnakan
Dan aku
Menangggis sendiri tiada bernoktah
Mengenang anak bangsa
Tunjang iman dari sehari ke sehari makin tercabut
Pada siapa untukku salahkan
Pada siapa pintaku untuk betulkan
Aku masih mencari titik demi titik
Mengapa bangsaku makin menjauh
Hilang dan lenyap
Di mana iman untuk ditegakkan
Sedang mereka di hujung tanah seberang
Sibuk mengintai mencari rezeki untuk diratah
Kerana derita itu dialah yang menanggungnya
Sedang adik-adiku sibuk membilang rezeki melimpah
Tapi, sayang tiada diketahui
Milik siapakah yang sedang melimpah?
Sarji Kasim
Bera 21 Julai 2007
No comments:
Post a Comment