Monday, August 23, 2010

Surat untuk Anak Peneroka

Surat Untuk Anak Peneroka


Anak peneroka
Hari ini aku layarkan surat untukmu
Buatmu merenung jauh kehidupan diri

Belajarlah pengorbanan ayah dan bondamu
Biarpun hutan belantara adalah sahabat hidupnya
Rimau dan gajah adalah rakan seperjuangan
Pacat dan lumpur adalah permainan siang malamnya

Kini, kaulihatlah penghijauan hasil lelahnya
Tidakkah kau kagum
Bahawa kau dilahirkan atas keringat dan air mata ayah bondamu
Kesenangan melimpah ruah yang kau ratah
Adalah air mata nanah yang berkorban atas nama
Mencari sesuap nasi

Kini,
Setelah kuselami nadi dan urat sarafmu
Hatiku tersentak! Bergoncang jantungku
Kesenangan yang ada
Kau ludah dan muntahkan di pipi ayah bondamu
Kecelakaan akhlakmu, membuat aku diam membisu,
Tertunduk malu

Apakah tidak? Arak, morfin, judi perhiasan siang malammu
Jalan raya di depan rumahmu, gelanggang maut hidupmu

Malangnya dirimu, anak peneroka
Dimanakah tanda kesyukuran kau robekkan?
Dimanakah harga keimanan kau telanjangkan?
Ayuh! Mari kembali mengenal asal-usulmu
Mari kembali, mencari makrifat diri


Sarji Kasim
Bera, 4 Oktober 2004.

Kita adalah Topeng

Kita adalah topeng

Jalan lurus tempat kita berlumba
Batang rokok buang merata
Sisa makanan dicampak ke luar kereta
Ada dinding kita conteng
Ada sungai jadikan tong sampah
Ada hutan kita tebang
Ada harimau kita tembak
Pusat membeli belah tempat melepak
Di situ tempat menayang pusat
Pakai baju singkat
Dalam masjid tempat bergelak
Orang baca khutbah kita rebah

Aduh, siapakah kita?

Kemana kita pergi jumpalah topeng
- Ada topeng kecil ada topeng besar
- Hidup berpura nafsu bergelora
Mengenang Keberangkatan Rasululah ke Sidratul Muntaha;
Israk Mikraj Untukmu Muhammad saw

Hidup Muhammad terus menderita
Datuk tercinta dipanggil Ilahi
Isteri Khadijah ke temat yang sama
Ahmad istiqamah pantang menyimpang.
Rumah Ummu Hani Baginda beradu,
sepupu Nabi namanya Ummu Hani
Dibawa Jibrail ke Masjid Aqsa
Masjid Aqsa di Baitul Maqdis

Masjid Aqsa menuju ke langit
Tempat disebut Sidaratul Muntaha
Esok hari menuju ka’bah
Apa peristiwa terus dicerita
Amanah Allah mesti disampai
Surah al-Maidah jelas tercatat

Pengalaman Rasul terus disampai,
Ejekan cacian bersabarlah nabi.
Itulah permainan harian Arab Jahiliyah
Penduduk Mekah tiada percaya
Masakan Muhammad ke Sidratul Muntaha
Gegak gempita tersebar cerita
Muhammad itu manusia pendusta

Sebahagian Muslim ada keraguan,
Itulah tanda nipisnya iman
Abu Bakar dicari dapat kepastian.
Yakin Abu Bakar sepenuh hati
Terima wahyu lagikan sukar
Inikan pula naik ke langit
Kerja Allah tentulah berkuasa
Tiada mustahil hakikat kebenaran

Baginda bercerita masjid Al-Aqsa
Semua benar tiada palsu
Semuanya betul benar belaka
Semasa hidup tiadalah sampai
Itulah kisah sebenar nabi

Abu Bakar pedagang besar
Tempat mana tiada dijelajah
Masjid Al-Aqsa tempat dagangan.
Tumpuan tempat Timur dan Barat
Muhammad menyebut benar belaka
Tiada takwil untuk dibohongi
Abu Bakar sendiri pernah sampai.
Kenyataan hakikat di pelipat mata
Abu Bakar mendapat panggilan
As-Siddiq dapat diberi gelar

Yang Membenarkan itulah makna,
Tebal iman itulah tanda.
Kafir Quraisy minta bukti
Segala dalil sudah diberi
Fikiran sempit pasti menyimpang
Usul diterima tanpa bangkangan
Unta hilang tuan mencari.
Kata Baginda kepada empunya
Tempat unta boleh dijumpai
Cerita lain adalah kisah
Rasul turun tunggangan unta
Turun tunggangan mencari minum
Letaklah cawan cara tertentu

Pulang ke Mekah tersebut kisah
Ada kafilah menuju Mekah.
Waktu petang sampailah kafilah
Sampai kafilah tepatlah masa.
Datang Badwi cerita takjub
Unta hilang puas mencari
Bergema suara dari langit
Disebut tempat unta menghilang


Pergi Quraisy ke suatu tempat
Mencari tempat Rasul minum
Benarlah segala sabda nabi
Ego diri binasa badan
Semua dalil ada terbukti
Kafir Quraisy bertambah marah
Bukannya tunduk kepada Ilahi

Sabda Rasul kepada Muslimin
Andai lagi diberi kesempatan
Tiada kembali alam dunia
Disitulah tempat kesenangan abadi
Sidratul Muntaha terima hadiah
Hadiah solat amatlah tinggi


Solat diberi penebus dosa
Menyuci jiwa segala manusia
Nikmat solat tiada terhingga
Hiburan Muslimin itulah tempat
Hadiah kedua diberi Allah
Perbuatan manusia karunia Pencipta

Niat jahat tiada dibuat
Tiada dicatat segala dosa
Sekiranya buat perbuatan mungkar
Satu dosa pasti dicatat

Niat baik tiada dibuat
Amalan pahala sudah dicatat
Niat baik membuat kebajikan
Sepuluh kebajikan diberi ganjaran.


Sarji Kasim
Bandar Bera
26 Syaban 1430
20 Julai 2009

Monday, August 16, 2010

Ramadan Datang Lagi

Ramadan Datang Lagi


Ramadan kau datang lagi

Aku di sini menyambutmu

Di sini kumenanti ujian keimanan

Di sini kukumenanti ujian ketakwaan

Di sini kumenanti ujian kesabaran

Di sinilah menentukan muslim

Di sinilah menentukan mukmin


Ramadan,

Malam-malam indahmu senantiasa dinanti

Disejukkan dengan solat

Dan malammu ini juga

Dinanti mukmin yang taat

Mencari malam lailatul qadar


Wahai mukmin sejati

Bulan ini si kaya menghulurkan zakat

Membersihkan noda dan dosa tecalar

Di sini bulan ibadat

Segala beduk tabuh rebana sudah berbunyi

Pesta ibadat sudah dipalu

Muslim mukmin sudah menanti


Hari-harimu dinanti

Malammu tetap ditunggu

Segala dosa noda kan diterjah

Mengumpul mengaut keimanan biar menggunung

Sejati keimanan itu ditunggu


Ramadan

Kau datang lagi

Bersyukurlah aku

Nafas masih di kerongkong

Paluan ini sudah disahut

Bulan ibadah bulan berkat

Hamparan sejadah sudah dihampar

Munajat doa sudah dihimpun

Moga amal diangkat

Sebaris pahala para Nabi-nabi



Bandar Bera

17 08 2010

Sunday, August 15, 2010

Penantian Ramadan

Penantian Ramadan

Ramadan

Kini kau datang lagi

Manusia beriman saban tahun menantimu

Moga calar-calar dosa dapat dihapus

Moga iman ketakwaan makin menebal

Moga rasa jiwa mukmin kian bertimbun

Ramadan

Manusia beriman menanti hadirmu

Malam siang perkaya keimanan di dalam dada

Inilah pesta ibadat sudah ditunggu

Inilah kunci menebal iman sudah dibuka

Inilah panggilan beduk yang saban hari di nanti

Ramadan

Kau tetap datang di sampingku

Terkedu aku bulan mulia seperti ini

Dada akhbar saban hari terpampang

Betapa jahilnya manusia

Anak tidak berdosa menjadi korban

Layakakah bayi ini dibunuh sebegitu kejam

Kembalikah kita ke zaman jahiliyah?

Kau datang

Semangat bulan mu tiada kisah

Betapa kemungkaran kian melebar

Betapa dosa sudah habis dibilang

Aduh

Malunya aku seorang insan

Al Quran dan Hadis hanya jadi pameran

Di almari atau rak-rak usang

Hanya berapa kerat hambamu mengambil kisah

Terkedu aku mendakap diri

Bagaimana dosa terus di hambat dosa

Bagaimana cerita duka ini dapat dipadam

Moga insan beriman tahu meletakkan iman

Di mana suara menamatkan kemungkaran ini

Ya, suara inilah yang ku nanti

Tapi bila dapat menamatkan

Riwayat dosa yang bersusun ini

Seakan berita biasa

Tiada sesal di hati pemilik iman

Aduh, datanglah suara keramat

Tamatkan segera riwayat dosa ini

Aku malu bersamamu, Ramadan.

Wednesday, August 4, 2010

Jamban oh Jamban

Setiap hari Isnin, tentunya pasar malam akan beroperasi di Dataran Taman Kerayong Emas. Bilangan penggunjung tidak kurang hebatnya. Kadang-kadang ada anak meraung dan terkencing. Puaslah si ibu mencari tandas tetapi hakikatnya tandas tidak ada.

Sebaiknya pihak yang berkaitan, kalau ingin membuka 'kedai' sediakan jamban untuk pelanggan. Kasihanlah pengunjungnya datang jauh-jauh dan kalau ada hajat tak kesampaian. Nak masuk kedai mamak tentulah segan. Sediakan juga untuk pengunjung surau sebagai tempat untuk ibadah. Saya tidak tahu, penjaja di sini, kalau nak solat; solat di mana. Nampak gaya, bangunan di sekitarnya makin bertambah tapi sayangnya jamban dan surau tidak ada. Saya juga ada bertanya pemlik kedai berdekatan; ada disediakan jamban atau tidak. Jawapannya tiadk ada. Jadi; di mana tempat mereka membuang hajat. Katannya; tumpang di kedai mamak. Kasihan mereka semua.

Kepada pihak berkuasa, elok juga cepat-cepatkan pembinaanya demi faedah pengunjung.

Tuesday, August 3, 2010

JALAN KATAK PURU

Pernahkah anda melalui jalan Temerloh - Bahau. Jalan ini merupakan jalan yang sangat penting menghubungkan kawasan Selatan dan juga ke pantai Timur dan Barat. Anda akan mengalami panaroma yang amat mengasyikkan terutama jalan berlengok-lengok dan amat menakutkan. Tidak hairanlah kalau anda melalui kawasan ini, ada sebuah kampung yang diberi nama Jeram Ular. Entahlah, mengapa nama ini diberi. Mungkinkah keadaan jalan yang berbengkok-bengkok ini seperti ular?

Kalau tuan tidak biasa dengan jalan ini, berhati-hatilah. Jalan ini Malaikat Maut sentiasa mengitai penggunanya. Korbannya, tidak kurang hebatnya. Ada disebabkan jalan "terbokok-bokok" ini penyebabnya. Ada juga disebabkan kerbau yang berkeliaran waktu malam. Sayangnya, JKR tidak endah dan tidak ada papan tanda yang menunjukan kerbau berkeliaran sebagai penanda kepada pengguna. Nampaknya, poket tembus tak atau tidak berisi langsung sedangkan kawasan ini beribu-ribu juga jumlah keretanya. Berapa jumlah cukai jalannya tapi penduduk di sini tidak merasa sesuatu yang baik sebagaimana rakyat di Kuantan.

Datanglah tuan ke daerah sini dan tuan akan lihat jalan berpuru. Maksudnya, jalan tidak rata. Kalau tuan datang dengan kereta mewah sekalipun, keadaan jalan yang berpuru ini tetap akan tuan nikmati. Apalagi, bagi kami yang hanya pakai kereta Proton Iswara. Kereta akan bergegar seolah-olah kita kembali ke zaman British. Tidak perlu sebut di km mana. Hakikatnya, hampir berpuru sepanjang masa terutama di tengah-tengah Bandar Baru Kerayong. Nama saja baru tapi layout jalan tetap menggunakan lesen 60an dan tidak ada orang yang berminat untuk meratakan puru tersebut. Tak percaya, bukalah blog "antara dua nafas' tuan akan lihat dalilanya.

Wahai, Orang Besar. Intai-intailah kami di sini. Sepanjang sejarah Malaysia merdeka rakyat Bera tidak pernah mendurhaka kepada Orang Besar. Jadi, apa dosa kami. Kami tak perlu jalan seperti highway, tetapi cukuplah sebagaimana yang dinikmati oleh orang Jerantut. Mereka tentu selesa guna jalan tersebut antara Temerloh - Jerantut. Sampai bila kami dapat menikmati jalan seperti itu. Fikir-fikir; mungkinkah?